JomTernakKambing.Com

Monday

PEMILIHAN BAKA KAMBING BAGI PEMBAKAAN

1. Pemilihan Kambing Baka
2. Boer ... Baik & Buruk Dalam Konteks Malaysia
3. Jamnapari kacukan...Koplo & Jawa Rando


1. Pemilihan Kambing Baka

Memandangkan kadar pengeluaran kambing baka di negara kita masih di tahap yang rendah, negara masih mengimport kambing baka dalam kuantiti yang banyak. Dari segi pasaran pula, kambing baka import dijual dengan harga yang lebih rendah berbanding baka kelahiran tempatan. Namun begitu, pembeli harus sedar bahawa kambing import yang baru tiba di negara kita sebenarnya berdepan dengan risiko kematian yang tinggi. Ini disebabkan oleh gejala 'stress' yang dialami oleh kambing import setelah melalui perjalanan yang jauh, serta bertukar iklim dan tempat tinggal. Begitu juga dengan pemakanan yang berubah berbanding di tempat asal mereka.

Harus difahami bahawa walaupun kambing yang diimport dari Australia dibawa masuk melalui penerbangan udara, ternakan tersebut sebenarnya juga mengalami 'stress'. Ini kerana ternakan yang pada asalnya diternak secara lepas bebas tanpa sebarang kurungan, telah ditangkap dan dikurung di dalam 'paddock' beberapa lama sebelum dieksport. Perjalanan dari ladang (pusat pengumpulan) ke lapangan terbang yang menggunakan lori juga mengambil masa berhari-hari kerana jarak yang jauh. Faktor-faktor ini menyebabkan ternakan mengalami gejala 'stress'.

Kambing import memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru, lebih-lebih lagi sekiranya ia berasal dari negara yang berlainan iklim seperti Australia. Tempoh penyesuaian sebenarnya bergantung kepada beberapa faktor iaitu:
1. Iklim dan kaedah pembelaan di negara asal.
2. Pengurusan dan kebersihan kandang di negara kita
3. Pemakanan (makanan, minuman, vitamin, 'supplement', dll)
4. Rawatan dan penjagaan

Tempoh penyesuaian ('climatisation') mengambil masa antara 2 hingga 6 bulan bergantung kepada faktor-faktor di atas.


Tips memilih baka kambing 'import'

Tidak dinafikan bahawa adalah sukar untuk mendapat bekalan kambing baka baik dari anak kelahiran tempatan, lebih-lebih lagi harga pasarannya pula mahal. Pilihan yang lebih sesuai adalah membeli baka kambing 'import' yang sihat iaitu yang telah stabil dan pulih dari 'stress' serta telah mengalami penyesuaian dengan persekitaran tempatan. Elakkan dari membeli kambing yang baru tiba di negara kita walaupun harganya murah. Adalah menjadi amalan pengimport untuk cuba menghabiskan stok yang baru tiba secepat mungkin dengan menjual pada harga yang murah, supaya mereka tidak perlu menanggung risiko kematian kambing tersebut. Pembeli juga harus memerhatikan dan menilai kaedah pengurusan dan kebersihan kandang di tempat penjualan kambing.

Ciri-ciri kambing yang sihat dan telah pulih dari 'stress' adalah seperti berikut:
1. Sentiasa berada dalam kumpulan, tidak menyendiri
2. Tidak terlalu kurus dan sentiasa berselera untuk makan
3. Tidak murung, termenung dan suka menyendiri
4. Mulai jinak, tidak keterlaluan berlari-lari ketakutan kepada manusia
5. Bulu badan bersih, licin dan berkilauan




2. Boer ... Baik & buruk dalam konteks negara kita

Kambing Boer merupakan kambing pedaging yang terbaik kerana rangkanya besar, manakala saiz tulangnya pula kecil dan mempunyai peratusan daging yang tinggi. Kambing Boer Baka Pejantan boleh mencapai berat melebihi 100kg bila mencapai umur 2 tahun, manakala Boer kacukan yang biasanya dibuat sembelihan boleh mencapai berat sekitar 40-50kg apabila mencapai umur 1 tahun. Peratusan karkas (daging bertulang) yang diperolehi biasanya sekitar 50-55% daripada berat hidup.

Kambing Boer samaada jantan atau betina, buat masa ini kebanyakannya adalah diimport dari Australia. Boer jantan selalunya agak lasak dan tahan terhadap perubahan iklim dan suasana persekitaran, yang nyata berbeza di antara Malaysia dan tempat asalnya Australia. Iklim di Malaysia adalah panas lembap di mana hujan turun dengan lebat pada masa-masa tertentu. Di Australia pula, iklimnya panas dan kering, dan kadar kelembapan udaranya rendah. Cara penternakan Boer di Australia adalah secara lepas bebas di mana kambing makan secara meragut rumput dengan bebas, dan jarang sekali berinteraksi degan manusia. Di Malaysia pula, kambing terpaksa dikurung di dalam kandang dan makanan diberi secara berjadual (fidlot). Hanya apabila cuaca panas dan kering sahaja kambing boleh dibiarkan merayau dan makan bebas di padang ragut. Ini adalah untuk mengelakkan jangkitan penyakit seerti kecacingan dan kurap.

Boer betina pula adalah tidak lasak dan mudah alah kepada perubahan iklim dan persekitaran. Pengalaman menunjukkan bahawa kadar kematian adalah tinggi bagi Boer betina yang diimport dari Australia untuk diternak di Malaysia. Kematian selalunya adalah disebabkan oleh merebaknya penyakit pneumonia di dalam kandang, dan ini selalunya berlaku pada musim hujan. Risiko kematian selalunya sangat tinggi dalam tempoh 6 bulan ketibaan kambing Boer ini di Malaysia. Selepas tempoh itu, barulah Boer betina ini dapat menyesuaikan diri dengan iklim dan persekitaran baru di negara kita.

Setengah-setengah penternak kehilangan sehingga kira-kira 50% dari bilangan Boer betina yang diimport akibat kematian.

Oleh itu, bagi penternak yang ingin menternak kambing Boer, adalah dinasihatkan membeli Boer betina yang sudah mengalami penyesuaian dengan iklim tempatan ('climatised') walau pun harga pasarannya agak tinggi berbanding Boer betina yang baru tiba. Pilihan lain adalah membeli anak kambing Boer kelahiran tempatan dan membesarkannya sehingga dewasa untuk dijadikan induk.

Untuk kos yang lebih rendah, penternak boleh juga menggunakan kambing kacukan tempatan atau yang diimport dari Indonesia untuk dikahwinkan dengan Pejantan Boer FB bagi menghasilkan anak boer kacukan F1.

Walau bagaimana pun, kami tidak menggalakkan penternak membeli kambing kacukan dari Thailand/Myanmar kerana peratusan yang membawa penyakit berjangkit adalah sangat tinggi. Penyakit yang dimaksudkan adalah brucella (brucellosis), penyakit ini boleh merebak kepada ternakan anda yang lain yang berada di dalam kandang yang sama.




3. Jamnapari Kacukan....Koplo dan Jawa Rando


Induk Koplo


Kambing Koplo dan Jawa Rando adalah baka dari Indonesia yang dihasilkan dari kacukan Pejantan Jamnapari dan induk kacukan atau kambing kampung Indonesia. Kambing ini mempunyai sebahagian ciri-ciri jamnapari iaitu berbadan agak kurus dan langsing, dan mempunyai rangka agak besar. Harga pasaran juga agak murah iaitu bermula dari RM550-RM750, bergantung kepada usia dan saiz.

Kambing jamnapari, koplo dan jawa rando selalunya tahan lasak dan sangat sesuai dengan cuaca dan keadaan tempatan di Malaysia memandangkan ia dibiakkan di Indonesia yang mempunyai cuaca yang sama dengan Malaysia. Bagaimanapun, bentuk badan yang kurus dan langsing menyebabkannya tidak sesuai untuk diternak sebagai kambing pedaging.

Oleh itu, penternak yang berpengalaman mengambil langkah mengahwinkan Pejantan Boer Fullblood (FB) dengan induk Koplo atau Jawa Rando untuk menghasilkan anak Boer Kacukan F1. Untuk tujuan ini, berat badan induk koplo/jawa rando hendaklah melebihi 25kg, barulah saiznya sesuai untuk dikahwinkan dengan Pejantan Boer FB. Biasanya induk Koplo atau Jawa Rando mencapai berat badan 25kg pada usia kira-kira 12 bulan. Beratnya boleh mencapai ke 35-40kg bila berusia 2 tahun.

Biasanya, anak hasil dari kacukan ini mempamerkan genetik pejantan Boer yang lebih dominan, di mana bentuk badan dan warna lebih mirip ke arah Boer, ia dipanggil Boer kacukan F1. Jika anak yang dihasilkan adalah betina, ia boleh dikahwinkan semula dengan pejantan Boer FB apabila dewasa nanti, untuk menghasilkan baka Boer kacukan F2, yang mana ciri-ciri Boernya lebih menonjol. Seterunya proses ini boleh diulang-ulang sehingga anak kacukan yang dihasilkan mencapai tahap Boer F5, yang dipanggil 'purebred', di mana ia menunjukkan ciri-ciri Boer yang hampir kepada Boer tulen iaitu 'fullblood'.



Induk Koplo dan anaknya hasil kacukan dengan Pejantan Boer FB.



Anak hasil kacukan Pejantan Boer FB dan Induk koplo. Lihat warna dan bentuk badannya yang sangat mirip ke arah Boer



Induk Jawa Rando (berwarna coklat) dan anak hasil kacukan dengan Pejantan Boer FB.

Ramai penternak yang telah mengambil langkah di atas dan berjaya menghasilkan baka kacukan Boer yang bermutu dan tahan lasak.



Kembali Laman Utama

Followers